BELLA MAHU PUTUSKAN HUBUNGAN DENGAN TEMAN LELAKI - KAKAK

 JOHOR BAHRU: Ibu tunggal yang dibunuh, Mila Sharmilah Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella pernah meluahkan hasrat untuk memutuskan hubungan cinta dengan teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24.


Norisham ketika ditemui di mahkamah

Kakaknya, Norisham, 36, memberitahu, Bella turut memaklumkan mahu berpindah ke Johor Bahru untuk menetap bersama-samanya selepas cuti persekolahan akan datang.

Walau bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila rangka Bella ditemukan di sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Batu Pahat pada 19 Januari lalu, dipercayai dibunuh.

“Bella ada beritahu hendak tinggalkan lelaki itu, dia nak pindah duduk Johor Bahru bersama dengan saya tetapi tak kesampaian, dia berkawan dengan lelaki itu sejak tujuh bulan lalu.

“Anak sulung Bella selalu tanya saya di mana mummy (Bella), uncle (suspek) dulu selalu marah-marah mummy. Anak Bella tanya kenapa mummy keluar televisyen, dia tanya saya dah beritahu polis belum  uncle selalu pukul-pukul mummy,” katanya ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.

Norisham hadir bersama ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat bagi menuntut rangka mayat Bella yang selesai menjalani proses bedah siasat untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Batu Pahat.

Yang turut hadir memberikan sokongan kepada keluarga Bella  ialah pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan nama Ebit Lew.

“Kalau ikutkan pengakhiran seperti ini sangat mengecewakan kerana pada hari kedua kehilangannya saya dah jangka lelaki itu (suspek) tahu sesuatu, cara dia bercakap pun sudah tahu penipuan dia, tetapi akhirnya ini yang kami dapat. Walaupun begitu,  alhamdulillah dapat juga (pengakhiran).

“Saya juga hendak berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mengikuti kes ini, tanpa anda semua mungkin tidak sampai ke tahap ini,” kata Norisham sambil memberitahu akan menjaga kedua-dua anak arwah Bella yang kini berusia lima dan dua tahun.

Terdahulu di Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi tadi, Mohammad Haikal didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bella.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan punca kematian Bella adalah disebabkan keretakan di bahagian tempurung kepala kesan hentakan objek tumpul dan pembunuhan itu dipercayai bermotifkan cemburu dan sakit hati.

Post a Comment

0 Comments