Kisah seram Pemandu Van Jenazah

Gambar hiasan


Pengalaman Akmal membawa van jenazah tidak la lama mana, baru dua tahun sahaja dan itu pun secara kebetulan, bila dia terpaksa mengambil tugas pemandu asal yang mana ketika itu ada tugas lain. Tapi sekarang dah jadi perkara rutin pula bagi dia setiap kali ada kematian, pihak masjid berdekatan rumah Akmal yang terletak di Pulau Pinang akan menghubungi beliau untuk membawa van jenazah. 

Jika tidak ada masalah lain, Akmal tidak akan menolak, baginya itu adalah fardhu kifayah. Walaupun baru setahun jagung, Akmal akui ia bukan perkara yang mudah! Kadang-kadang ia cukup mencabar dengan pelbagai perkara diluar jangkauan yang tidak masuk dek akal boleh berlaku dan susah untuk dijelaskan.

Akmal ingat lagi, lebih kurang tiga tahun lepas..Dia diminta untuk membawa jenazah seorang lelaki berusia 90-an untuk dikebumikan dekat kampung halamannya di Kuala kangsar. Anak arwah seorang kariah masjid tempat Akmal tinggal. Walaupun Akmal tidak la rapat dengan anak arwah tu, tetapi Akmal merasakan tanggungjawab yang perlu dia laksanakan.

Abang Din gelaran nama untuk anak arwah, ketika ayahnya meninggal, abang Din sendiri yang menelefon Akmal untuk meminta bantuan menghantar jenazah arwah ayahnya ke kampung. Walaupun ketika itu sudah larut malam tetapi mereka tetap akan memulakan perjalanan.

Akmal di fahamkan arwah ayah abang Din meninggal dunia akibat sakit tua. Dah agak lama orang tua tu sakit, lebih kurang setahun setengah. Semenjak sakit abang Din selaku anak sulung la yang menjaga dan merawat ayahnya. Sebagai anak inilah masa untuk dia balas jasa orang tuanya.

Tapi... Ada satu sahaja yang tidak sedap di dengar, orang kata arwah susah nak mati. Walaupun sudah bertahun terlantar sakit, tapi nyawanya panjang. Orang kata arwah ada membela.

Malam tu, lebih kurang pukul dua pagi Akmal bergerak dari Pulau Pinang melalui lebuh raya selatan menuju ke Kati, Kuala Kangsar. Jenazah dijangka akan dikebumikan selepas subuh, dengan Akmal didalam van tu ada abang Din dan adik tiri dia Izat. Alhamdulillah ada juga teman berborak.

Mereka berdua duduk area belakang dengan jenazah, keadaan cuaca dan lalu lintas malam itu kelihatan baik. Rasanya mungkin dua jam lagi sampai la mereka ketempat yang dituju.

Sepanjang perjalanan, sesekali Akmal akan menjeling ke belakang, kelihatan adik tiri abang Din dan abang Din tidak henti-henti baca yasin untuk sedekah kepada arwah ayah mereka. Mulanya perjalanan ketika itu dalam keadaan baik dan tidak ada perkara pelik berlaku. Akmal pun memasang radio secara perlahan untuk menghilangkan kebosanan.

Namun setelah melalui susur keluar Kuala Kangsar, tidak semena-mena semua lampu van secara tiba-tiba mati, ini menyebabkan keadaan dalam van menjadi gelap gelita. Bukan itu sahaja, malahan radio pun sekali ikut mati. Sudahlah keadaan area tersebut sunyi dan gelap, kalau ada lampu pun macam hidup segan mati tak mahu.

Kelam kabut dibuatnya, kalau tidak berhati-hati boleh kemalangan. Walaupun lampu dan radio mati, tetapi enjin van masih hidup! Nak tak nak Akmal tetap meneruskan perjalanan dengan berhati-hati memandangkan lampu van sudah mati.

Akmal merasakan ada sesuatu yang mengganggu perjalanan mereka untuk menghantar jenazah tersebut. Pelbagai bayangan aneh mula bermain difikiran Akmal.. Setelah melintasi simpang Liman kati, satu lagi perkara pelik berlaku! Kali ni enjin kenderaan pula mati, Akmal cepat-cepat mengawal kenderaan ke tepi jalan.

Aduh...Apahal pula ni bisik Akmal dalam hati, dengan keadaan sekeliling gelap gelita Akmal berusaha menghidupkan semula enjin dan menelefon beberapa orang kawan untuk meminta bantuan namun gagal Semuanya tidak berjawab. 

Akmal pun menoleh kebelakanguntuk melihat keadaan abang Din dan adiknya Izat, tetapi Akmal tidak dapat melihat mereka kerana keadaan dalam van ketika itu sangat gelap. Sama ada mereka tahu masalah yang Akmal hadapi atau tidak, tidak dapat Akmal pastikan.

"Semakin dekat dengan kampung, semakin kuat pula gangguan ni" bisik Akmal dalam hati. Akmal pun turun dari van dan menuju kebelakang, alangkah terkejutnya dia pintu van dah terbuka! abang Din dan Izat pula tidak ada dekat dalam van.

Akmal tercari-cari kelibat mereka berdua dikawasan sekitar belukar berhampiran. Ketika itu suasana sunyi dan tidak ada satu pun kenderaan yang lalu. "Macam mana abang Din dan Izat boleh hilang macam tu saja? kalau mereka nak turun tentu mereka akan beritahu aku" Akmal dalam keadaan bingung dengan seribu satu persoalan.

Akmal pun terus menutup pintu van jenazah yang terbuka tadi dan langsung menuju ke dalam van dia cuba lagi menghidupkan enjin semula namun gagal. Dengan keadaan yang sunyi ditambah pula dengan keadaan yang gelap menambah keseraman ketika itu. 

Beberapa minit kemudian tiba-tiba Akmal melihat cermin depan van beransur-ansur dipenuhi dengan haiwan-haiwan berbisa seperti labah-labah dan kala jengking berwarna hitam. Beberapa kali Akmal mengetuk cermin depan van dengan harapan haiwan-haiwan tersebut jatuh, namun semakin banyak pula yang datang memenuhi cermin depan van tersebut. Entah dari mana muncul semua haiwan-haiwan itu Akmal pun tidak tahu! Kalau terlepas masuk dalam van memang bahaya...Cepat-cepat Akmal tutup pintu van dan membaca ayat Kursi.

Haiwan tersebut kini datang dari setiap sisi van jenazah tersebut. Akmal menjangkakan haiwan tersebut bukanlah haiwan biasa, Akmal pun terus membaca ayat Kursi tanpa henti dan berdoa kepada ALLAH semoga di permudahkan urusan. Sesekali Akmal akan memandang jenazah yang terletak dibelakang, takut-takut jenazah tersebut bangun dan mencekiknya.

keadaan itu berterusan selama satu jam, dan selama itulah bibir Akmal tidak henti-henti membaca ayat-ayat Kursi, sehinggalah azan subuh mula berkumandang dari sebuah surau yang terletak berhampiran tempat tersebut. keadaan terus berubah menjadi normal semula, haiwan-haiwan tersebut ghaib secara tiba-tiba dan terbang menjadi kabus.

Tiba-tiba cermin sisi van diketuk! Akmal melihat abang Din dan Izat tercegat dekat luar, wajah mereka nampak resah dengan seribu satu persoalan. Akmal pun mengajak mereka masuk dan duduk di bahagian depan van, sekali lagi Akmal cuba menghidupkan enjin, namun kali ini enjin berjaya dihidupkan dan mereka pun meneruskan perjalanan ke kampung arwah.

Tapi..perjalanan kali ini senyap dan sunyi, ketiga-tiga mereka duduk membisu. Tidak ada satu orang pun yang mahu bersuara, masing-masing diam seribu bahasa. Setelah sampai dan menguruskan pengebumian arwah, Akmal terus menemui abang Din, banyak benda dia yang ingin dia tanyakan sebelum bergerak balik ke Pulau Pinang. Akmal mahu bertanya tentang kejadian pelik yang berlaku dalam perjalanan tadi.

Abang Din mengajak Akmal duduk agak jauh dari orang ramai. Akmal pun menceritakan tentang kejadian labah-labah dan kala jengking yang dia temui dalam perjalanan tadi dan bertanya kemana abang Din dan izat pergi ketika itu? Menurut abang Din, sebelum labah-labah dan kala jengking muncul depan cermin van. Mereka sudah lama diganggu ketika dalam perjalanan lagi, haiwan-haiwan tu muncul dari bawah keranda jenazah arwah ayahnya, walaupun surah Yasin di baca tanpa henti tapi keadaan masih sama. Disebabkan tidak tahan dengan gangguan tu...ketika van berhenti, Abang Din dan Izat terpaksa keluar dan berlari ke salah sebuah rumah dekat kampung berhampiran.

"Sedih saya bila mengenangkan apa yang terjadi, bayangkanlah...Haiwan berbisa keluar dari keranda orang yang kita sayang" ungkap abang Din. 

Semua persoalan yang bermain difikiran Akmal sudah pun terjawab. Walaupun mungkin banyak kesilapan arwah, namun beliau masih beruntung memiliki anak lelaki sebaik abang Din. 

Post a Comment

0 Comments