Pasukan polis dan bomba mengangkat mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik di bawah kolong sebuah rumah di Kampung Datu Pangeran Batu 7, Sandakan. FOTO IHSAN BOMBA |
Sandakan: Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Datu Pangeran Batu 7, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa Ridzsfar Jafar, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.06 pagi.
"Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai polis.
"Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada 11.59 pagi.
Sumber - Sinar Harian
0 Comments